JUTAWAN YANG DIREDAI ALLAH S.WT
Jutawan Arab Saudi yang
berjaya mengubah hidup beliau daripada seorang rakyat miskin hingga berjaya
mengumpul kekayaan, Sulaiman Al-Rajhi, merupakan seorang dermawan yang terkenal
di dunia. Beliau adalah pengasas Bank Al-Rajhi, bank Islam terbesar di
dunia, dan salah satu daripada syarikat terbesar di Arab Saudi. Sehingga
2011, kekayaan beliau telah dianggarkan oleh majalah Forbes, bernilai sebanyak
AS$ 7.7 bilion sekali gus disenaraikan sebagai orang ke-120 yang terkaya di
dunia. Yayasan Saar milik beliau adalah sebuah organisasi amal yang
terkenal di negara tersebut.
Keluarga Al-Rajhi
dianggap sebagai salah satu daripada keluarga kaya yang BUKAN daripada keluarga
diraja, dan mereka adalah antara dermawan terkemuka di dunia. Walaupun
Al-Rajhi adalah seorang jutawan, tetapi beliau memilih untuk menjadi ‘miskin’
sehinggakan beliau tidak mempunyai sebarang wang dan juga saham yang dimiliki
beliau sebelum ini.
Keadaan tersebut terjadi
apabila beliau memindahkan kesemua aset yang dimiliki kepada anak-anak beliau
dan mendermakan aset-aset yang selebihnya. Bagi menghargai jasa beliau
terhadap dunia Islam, termasuk mengasaskan bank Islam terbesar dunia dan juga
segala usaha yang dijalankan untuk membasmi kemiskinan, Al-Rajhi telah dipilih
untuk menerima Anugerah Antarabangsa Raja Faisal atas jasa beliau kepada
Islam. Dalam satu wawancara yang dibuat olehMuhammad Al-Harbi dari
Al-Eqtisadiah Business Daily, Al-Rajhi menceritakan tentang bagaimana
beliau mampu meyakinkan ketua-ketua bank di dunia, termasuk Bank of England,
hampir 30 tahun lalu, bahawa bayaran ‘faedah’ adalah sesuatu yang haram bagi
kedua-dua agama iaitu Islam dan Kristian, dan bank secara Islam adalah
penyelesaian yang terbaik bagi menaikkan taraf ekonomi dunia.
Kisah Al-Rajhi
berkisarkan tentang bagaimana seseorang itu meraih kekayaan dari
bawah. Beliau terpaksa melalui kesusahan ketika beliau kecil sebelum
menjadi kaya, dan kemudiannya meninggalkan segala harta yang ada setelah
mengecapi kejayaan. Al-Rajhi masih lagi aktif dalam bekerja walaupun usia
beliau telah mencecah lebih daripada 80 tahun. Beliau memulakan tugas
harian sejurus selepas solat Subuh dan terus bekerja hingga selepas solat
Isyak. Beliau kini sedang memberikan tumpuan terhadap Yayasan SAAR, dengan
berulang-alik di negara-negara Arab bagi menguruskan segala hal-hal yang
berkaitan dengan yayasan tersebut.
Beliau sering membawa
diari kecil untuk mencatatkan aktiviti harian beliau dan sentiasa memastikan
tidak akan terlepas dari satu aktiviti pun. Al-Rajhi juga merupakan
seorang yang amat berjaya dalam apa jua bidang yang beliau ceburi. Selain
daripada mengusahakan bank Islam terbesar dunia, beliau juga telah mengasaskan
ladang binatang ternakan yang terbesar di Timur Tengah. Daripada segi
perladangan, beliau telah menjalankan banyak eksperimen ternakan secara organik
di negara-negara Arab, termasuk perladangan udang Al-Laith. Beliau juga turut
mengasaskan perniagaan hartanah dan juga beberapa lagi pelaburan.
Temubual:
Sheikh Suleiman, adakah
anda kini telah menjadi miskin semula?
Ya. Kini apa yang saya
miliki hanyalah pakaian-pakaian saya. Saya telah membahagikan harta saya kepada
anak-anak dan juga mendermakan selebihnya untuk menjalankan projek-projek amal.
Ini bukanlah sesuatu yang aneh bagi saya. Kedudukan kewangan saya kini telah
menjadi kosong sebanyak dua kali dalam hidup saya. Jadi, saya amat faham akan
keadaan ini. Namun, kini perasaan itu dipenuhi dengan kegembiraan dan juga
ketenangan. Sememangnya saya yang memilih untuk menjadi miskin.
Mengapa berbuat begitu?
Segala kekayaan dimiliki
oleh Allah s.w.t, kita hanyalah ditugaskan untuk menjaga kekayaan tersebut. Ada
beberapa sebab mengapa saya memilih untuk memilih jalan ini. Antara sebab-sebab
utamanya adalah saya perlu menjaga sahabat-sahabat Islam dan juga anak-anak
saya. Ia adalah antara perkara yang paling penting dalam hidup. Saya juga tidak
suka untuk membuang masa di mahkamah hanya kerana ada antara mereka yang tidak
bersetuju dengan jumlah harta yang diwariskan kepada mereka. Terdapat banyak
contoh di mana anak-anak mula berpecah hanya kerana harta yang kemudiannya
menghancurkan syarikat. Negara ini telah banyak kehilangan syarikat-syarikat
besar kerana perbalahan harta yang boleh diselesaikan jika kita mencari jalan
penyelesaian yang lebih berkesan. Selain daripada itu, setiap umat Islam perlu bersedekah
sebagai bekalan pahala di akhirat kelak, Jadi, saya lebih suka jika anak-anak
saya mencari kekayaan sendiri daripada bergantung dengan saya.
Adakah Sheikh mempunyai
banyak masa terluang setelah membahagikan kesemua harta?
Seperti yang telah saya maklumkan
tadi, saya masih lagi bekerja keras untuk mendapatkan lebih derma. Saya telah
bekerjasama dengan pelbagai agensi bagi menjayakan projek ini. Secara
kebiasaanya, umat Islam sering membahagikan satu per tiga ataupun suku daripada
kekayaan mereka untuk bersedekah yang hanya akan diberikan setelah mereka
meninggal dunia. Namun, bagi saya, saya mahu mula bersedekah ketika saya masih
hidup. Jadi, saya telah membawa anak-anak saya ke Mekah pada hujung bulan
Ramadhan dan memberitahu mereka idea saya. Mereka bersetuju terhadap idea
tersebut. Saya telah meminta bantuan daripada agensi-agensi yang berkaitan
untuk membahagikan kesemua harta saya termasuk saham dan juga hartanah kepada
anak-anak dan juga untuk didermakan. Kesemua anak-anak saya berpuas hati terhadap
inisiatif saya dan mereka kini sedang menguruskan segala harta yang saya
berikan kepada mereka.
Berapa banyak harta yang
dibahagikan kepada anak-anak dan juga untuk didermakan?
Beliau tergelak tanpa
memberi sebarang jawapan.
Apakah perasaan Sheikh terhadap
kesemua projek yang sedang dijalankan?
Saya ingin menegaskan
bahawa terdapat beberapa faktor yang saya ambil sebelum melakukan sebarang
pelaburan. Eksperimen yang saya lakukan terhadap pertukaran wang adalah salah
satu daripada sebab mengapa saya mengasaskan bank. Ketiadaan bank Islam juga
menjadi antara sebab mengapa saya mula mengasaskan Bank Al-Rajhi, yang kini
merupakan bank Islam terbesar di dunia. Saya mulakan eksperimen saya dengan
membuka pejabat di Britain dimana kami mula memperkenalkan sistem perbankan
Islam ke peringkat yang lebih besar. Eksperimen tersebut kemudiannya mula
berkembang dan ia mula mendapat sokongan daripada ulama-ulama Saudi pada ketika
itu. Saya masih ingat lagi bagaimana permohonan saya untuk mendapatkan lesen
untuk membuka bank tidak diterima pada mulanya. Ini adalah kerana pihak British
tidak memahami apa-apa pun tentang sistem perbankan Islam. Saya kemudiannya
pergi ke London dan berjumpa dengan Pengurus Bank of England dan dua daripada
pegawai kanan beliau. Saya memberitahu mereka bahawa penggunaan faedah adalah
haram bagi Islam dan juga Kristian dan kebanyakan daripada mereka sanggup
menyimpan wang mereka di dalam kotak di rumah daripada menyimpan di dalam bank.
Saya cuba untuk meyakinkan mereka bahawa (jika mereka mula membuka bank Islam)
ini mampu menaikkan taraf ekonomi dunia. Mereka akhirnya bersetuju untuk mula
membuka bank-bank Islam. Saya kemudiannya mula mengembara ke serata dunia di
bahagian Timur dan Barat, dan berjumpa dengan ketua-ketua bank negara di beberapa
buah negara dan memberitahu mereka bagaimana ciri-ciri yang terdapat dalam
dunia ekonomi Islam. Kami mula bekerja dan mencapai kejayaan di negara-negara
Arab dan melaksanakan perbankan Islam di London, saya kemudiannya berjumpa
dengan Mufti Besar Sheikh Abdul Aziz bin Baz dan Sheikh Abdullah bin Humaid,
dan memberitahu mereka tentang rancangan saya bahawa : ‘Kita mampu, dengan izin
Allah, memajukan perbankan Islam. Mereka memuji saya atas inisiatif yang saya
jalankan. Dari situlah kami mula mengusahakan Bank Al-Rajhi seperti mana yang
anda dapat lihat hari ini. Bagi projek Ladang Ternakan Al-Watania pula, saya
mula mendapat inspirasi untuk menjalankan projek tersebut apabila melawat
ladang ternakan di luar negara. Saya dapati bahawa cara mereka menyembelih
adalah salah. Saya kemudiannya mengambil keputusan untuk melabur dalam bidang
ternakan atas nama Islam dan negara. Saya tetap menjalankan projek tersebut
walaupun membuat pelaburan dalam industri ternakan adalah sesuatu yang agak
berisiko pada masa tersebut. Kini, Al-Watania telah menjadi salah satu daripada
projek mega di Saudi. Syarikat tersebut mendapat 40 peratus daripada saham di
negara-negara Arab, dan ayam-ayam Al-Watania diberikan makanan yang cukup dan
disembelih dengan cara yang halal menurut undang-undang syariah.
Walaupun dengan semua
kekayaan yang dimiliki, mengapa syeikh tidak mempunyai satu pun kapal terbang
sendiri?
Saya ada banyak kapal
terbang, tetapi kesemuanya dimiliki oleh syarikat-syarikat penerbangan
tertentu. Saya memilikinya setiap kali saya membayar tiket penerbangan untuk ke
satu-satu destinasi (gurauan). Saya sering terbang dengan kadar kelas ekonomi
kerana Allah tidak memberikan kita harta untuk ditunjuk-tunjuk.
Bagaimana pula dengan
hobi syeikh?
Saya tidak mempunyai
sebarang hobi yang khusus. Bagaimanapun, saya suka mengembara di padang pasir.
Saya tidak pernah mengambil pakej percutian di negara-negara lain selain dari
Saudi.
Ketepatan masa Al-Rajhi
Wawancara ini telah
menunjukkan bagaimana disiplin Al-Rajhi dalam menepati masa. “Pada awal karier
saya dalam industri, saya mempunyai beberapa perjumpaan dengan beberapa
syarikat besar di Eropah. Saya masih ingat lagi kisah dimana saya terlambat
selama beberapa minit dalam satu perjumpaan dengan salah seorang pegawai besar
sebuah syarikat. Walaupun hanya beberapa minit, beliau tidak mahu meneruskan
perjumpaan tersebut. Selepas kejadian tersebut, setelah projek kami mula
berkembang, pegawai yang sama pula lambat untuk berjumpa dengan saya, jadi,
saya pula yang tidak mahu meneruskan perjumpaan tersebut. Saya sering membawa
kertas untuk menulis segala perjumpaan dan urusan dan sentiasa memastikan agar
saya sering menepati masa walau apa pun.”
Al-Rajhi berkata lagi:
Saya amat menepati segala perkara yang diterapkan dalam Islam sepanjang hidup
saya. Saya pernah mendapat undangan daripada kerajaan Arab untuk menghadiri
satu persidangan yang berkaitan dengan pelaburan. Kemudiannya, dalam
persidangan yang sama, saya dijemput untuk mengambil bahagian dalam majlis
makan malam mereka, saya dapati bahawa antara aktiviti yang dijalankan ketika
majlis tersebut adalah bertentangan dengan ajaran Islam. Saya kemudiannya
keluar dari majlis makan malam tersebut. Kemudian, Abdul Aziz Al-Ghorair dari
UAE turut serta bersama saya. Tidak lama selepas itu, menteri yang
bertanggungjawab terhadap persidangan tersebut datang kepada kami dan kami mula
menerangkan kepada beliau bahawa aktiviti yang dijalankan di majlis tersebut
adalah bertentangan dengan budaya Islam. Beliau kemudiannya berkata bahawa
aktiviti-aktiviti di majlis tersebut akan dibatalkan. Apabila mereka
membatalkan aktiviti tersebut, kami kembali menyertai majlis tersebut.
Penyelesaian Masalah
Al-Rajhi berkata: Pada satu masa, salah satu daripada kilang yang
diuruskan oleh anak saya habis dijilat api. Apabila dia datang untuk
memaklumkan perkara tersebut kepada saya, saya memberitahu: Sebut
Alhamdulillah. Saya meminta anak saya supaya tidak membuat sebarang laporan
tentang kerugian yang dialami bagi meminta pampasan daripada pihak berkuasa. Sebaliknya,
pampasan yang diberikan oleh Allah adalah lebih penting bagi kita. Assam
Al-Hodaithy, Pengurus Kewangan bagi syarikat Ternakan Al-Watania berkata:
“Apabila kilang tersebut terbakar, kami telah membuat keputusan untuk tidak
menyakiti hati Al-Rajhi dengan memberitahu beliau tentang apa yang terjadi.
Kami kemudiannya berjumpa dengan beliau keesokan harinya dan memberitahu akan
perkara yang terjadi, beliau mengarahkan kami untuk berpindah ke tempat lain
dan membersihkan segala kerosakan sehingga semuanya dibaiki.” Perkara yang sama
terjadi di satu lagi projek Al-Watania di Mesir. Syarikat tersebut kerugian
kira-kira SR10 juta Pound Mesir. Apabila pegawai projek tersebut menghubungi
Al-Rajhi untuk memberitahu perkara tersebut, beliau terkejut apabila Al-Rajhi
menjawab dengan menyebut:“Alhamdulillah.”
No comments:
Post a Comment